Assalamualaikum,
Hujan tiada, ribut tiada.. tiba-tiba ada misi. Humph!
Setelah memikirkan dan melalui beberapa perkara, serta disokong oleh beberapa bukti, akhirnya aku berani mengakui aku OVERWEIGHT.
Dengan ketinggian ala-ala model asia tenggara di zaman kegemilangan rock kapak, 1.55 m (zaman dulu, kira tinggi sudah tu), berat 71.6 kg dan umur mencecah gelaran makcik-makcik anggun 40an, akhirnya aku bersetuju dan menerima hakikat nan satu itu.
Walaupun ada beberapa usaha cuba dirancang dan dilaksanakan, tapi malangnya tidak berterusan. Agaknya tekad tu belum cukup kick. Tambah lagi dengan kekangan masa dan jadual sedia ada (aku kan supir bertauliah), maka pelaksanaannya ada sedikit longgar. Belum masuk bab cabaran lagi tu.
Maka setelah umur mencecah 42 tahun, kali ni aku bertekad. Sekurang-kurangnya untuk mengurangkan berat badan ke berat badan ideal. Puncanya, tekanan darah aku naik bila aku ke klinik sebab demam. Walaupun nurse cakap normal, tidak normal bagi aku. Dulu demam-demam pun, tekanan darah aku A+. Aiseh! Belum lagi kes naik tangga. Baru 2-3 anak tangga, semput macam lari 1500m.
Segala research dibuat (walaupun hanya melalui google). Jenis senaman, jenis diet, jenis makanan dan mana-mana bahagian yang terlibat. Kesimpulannya syukurlah aku cuma perlu turunkan berat badan 11.6 kg. Kalau beli ikan di pasar, cukup stok untuk sebulan 11 kg tu.
Bermula dengan jogging berselang-seli dengan aktiviti menangga (menaiki tangga). Sambil-sambil tu buat juga workout yang ada dalam youtube. Kalau hujan turun, buat skipping atau workout saja. Hujung minggu dating dengan laki pula, hiking membukit pula.
Tapi harus diingat para hadirin sekalian, senaman sahaja tanpa mengawal makan bukan misi menuju berat ideal ya. Itu misi membuang masa dan tenaga namanya. Disebabkan aku ni suka makan, aku tidak control apa yang aku makan. Aku cuma control potion makanan yang aku ambil saja.
Dari segi pemakanan aku:
1) Kurangkan makan sarapan yang terlalu berat. Cukuplah wholemeal bread bertemankan telur/ayam/daging. Kira buat macam sandwich. Paling cincai pun baki lauk kari ayam boleh dibuat cicah dengan wholemeal bread kosong. Sekali sekala kalau mau makan mee goreng tu boleh. Tapi sila kawal jumlah pengambilan ya.
2) Kurangkan pengambilan minuman manis. Most of the time, aku cuma minum air putih. Mengikut sukatan yang sepatutnya aku minum. Boleh download apps untuk kira pengambilan air putih dalam sehari. Aku siap buat reminder lagi. Walaupun kunjungan ke tandas lebih kerap, sekurang-kurangnya rasa lapar tu boleh ditanggung. Satu-satunya minuman berperisa yang aku minum, kopi di awal pagi sebelum kerja.
3) Pengambilan nasi yang sedikit. Orang cakap sukatan satu mangkuk. Tapi orang tidak tau, mangkuk sekarang ada banyak saiz. Paling senang, kira ikut sudu makan. Disebabkan aku bersenam sebelah petang, bagi mengelakkan pengsan tanpa diketahui di tepi jalan masa berjogging, penting untuk aku ambil nasi untuk tenaga. Cukuplah dalam 7-8 suap. Sebab normally malam aku tidak makan. Lauk aku pelbagai ya. Ayam goreng pun aku ngap juga. Paling penting: control potion.
4) Segala jajan-jajan pun dikurangkan. Kalau rasa macam mau mengunyah, sila minum air putih. Tapi seperti biasa, bila tengok anak-anak makan keropok tiba-tiba tangan aku pun join sekali memeriahkan suasana kekeluargaan sambil makan keropok. Tapi hakikatnya, control. Cukup la 2-3 ngap. Lepas tu, serah balik pada pihak yang berkenaan. Asal rasa saja.
Dari segi senaman pula :
1) Kebetulan aku balik jam 4.30 ptg dan anak-anak aku balik dari sekolah KAFA dalam jam 5.00 ptg. Disebabkan anak-anak sekolah tidak jauh, saya ada kelapangan 30 minit untuk bersenam. Saya manfaatkan dengan jogging. 2 km pun sudah cukup bagus. Paling penting, keluar juga la peluh.
2) Lepas ambil budak-budak dari kelas KAFA, sampai rumah dalam jam 6.00 ptg. Sambung dulu buat workout dalam 15 minit. Aku refer youtube https://www.youtube.com/watch?v=bleOTMDa3_4 Lepas tu boleh sambung buat kerja-kerja rumah pula.
3) Aku join segala jenis run. Virtual run dan actual run. Supaya kita tiada alasan untuk jadi malas bersenam. Tapi bukan tahap extreme ya. Cukuplah mengikut kemampuan. Setakat ni, aku cuma ambil 5 km actual run. Untuk virtual run, paling confident la aku lari 15km sebulan.
4) Bagi yang baru nak mula bersenam, digalakkan untuk bermula dengan perlahan. Takut badan terkejut. Paling bagus mula dengan naik tangga. Kalau penat jangan paksa. Rehat tapi jangan berhenti terus. Lepas tu boleh jogging selang seli dengan jalan. Yang penting ada pergerakan.
Kesimpulannya, kalau kita disiplin, hasilnya mungkin lebih baik. Setakat ni, selepas sebulan mengikuti jadual di atas, aku sudah kurangkan 3kg. Selalunya bulan puasa saja aku boleh kurangkan berat 3 kg. Harapnya lepas mencapai misi berat badan ideal, aku sudah biasa dengan gaya pemakanan yang ringkas dan lebih sihat. Yang penting kita boleh ubah tabiat yang tidak sihat tu pun jadilah. Supaya kesannya berpanjangan.
Mudah-mudahan...